Koleksi Pengalaman En.Muhammad
Rumah Sewa Berhantu di Kuala Kedah
( dikarang sendiri oleh En.Muhammad )

rumah ini telah lama berhantu
Julai 2008 - Kes ini terpaksa saya terima kerana telah melibatkan seorang pengawal
keselamatan yang bertugas di pejabat saya ketika itu dan juga merupakan seorang kawan.
Itupun setelah beberapa kali perkara ini diadukan olehnya dan telah mencapai tahap kritikal
kerana semakin mengancam keselamatan ahli keluarganya.
Kira-kira sebulan sebelumnya, dia pernah mengadu kepada saya bahawa rumah yang disewanya
menimbulkan pelbagai masalah pelik terutamanya di bilik tidur utamanya.
Apabila tiba waktu tengah malam, pelbagai bunyi yang didengari dengan jelas seperti
pintu bilik dicakar dengan kuat, bunyi orang berjalan di dalam rumah dan lain-lain.
Peralatan dalam rumah juga sering beralih tempat tanpa diusik oleh sesiapa.
Dia tinggal bertiga di rumah itu iaitu bersama isteri dan seorang anak perempuannya
(berumur 4-5 tahun rasanya kot. Dah lupa sbb hanya berjumpa mereka sekali sahaja)
Mereka juga menjadi mangsa gangguan misteri di rumah tersebut.
Seringkali dia terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di rumah mertua yang tinggal di
kawasan berhampiran apabila giliran bertugas syif malam kerana bimbangkan keselamatan
anak isterinya
Saya meminta dia bertanya kepada jiran-jiran di taman itu tentang rumah yang baru
disewanya samada mereka tahu sesuatu. Setelah ditanya kepada beberapa penghuni
taman perumahan tersebut yang lebih lama menetap disitu, terbongkar cerita bahawa
rumah tersebut lama 'berpenghuni' dan memang telah jadi kebiasaan bahawa mereka
yang menyewanya tidak akan tinggal lama di situ.
Para penyewa sebelum ini juga menghadapi masalah yang hampir sama dan ada yang hanya
bertahan selama satu malam sahaja. Pelbagai kejadian aneh yang juga dialami oleh keluarga
penyewa-penyewa sebelum ini dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya, namun
sia-sia sahaja.
Penduduk setempat juga menceritakan yang sepohon pokok di sebelah rumah itu, sering
dijadikan tempat pemujaan 'sesuatu' sebelum taman itu dibina. Tidak pasti apa yang
dipuja oleh pengamal-pengamal khurafat itu, kerana senario tersebut telah lama berlaku
dan penduduk-penduduk ada zaman itu telah ramai yang tiada. Lagipun, belukar itu jauh pada
penempatan manusia sebelum taman itu dibina.

pokok yang dijadikan tempat pemujaan dan sering dilihat sesuatu atas dahannya
Telah ramai pengamal perubatan dan bomoh yang dipanggil untuk menyelesaikan
masalah itu, namun masih belum berjaya. Mereka juga sering terlihat seakan
satu lembaga sering bertenggek pada dahan pokok itu (rumah yang disewa itu adalah lot
tepi 'corner lot' dan jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari pokok tersebut)
Saya bertanya, adakah pemilik rumah yang menyewakan rumah tersebut menyatakan
apa-apa sebelum menerima wang pendahuluan dan membenarkan mereka memasukinya.
Dia menyatakan yang tiada apa yang dimaklumkan malah pemilik rumah itu bersikap
'lepas tangan' dan hanya menyuruhnya mencari bomoh sahaja.
Saya juga menyarankan agar dia dengan mana-mana bomoh atau pengamal perubatan
yang handal dan terkenal selain mengadakan majlis tahlil serta bacaan Yasin beberapa
kali walaupun telah dilakukannya sebelum memasuki rumah tersebut.
Setelah hampir sebulan berikhtiar, masih belum berhasil. Malah gangguan yang
dihadapi semakin 'keras'. 'Penghuni' rumah itu seolah-olah ingin menghalau
mereka keluar dengan segera daripada rumah itu. Kali ini, bukan setakat isteri dan anaknya
sahaja yang diganggu, Ibu Mertuanya yang menemankan keluarganya juga turut diganggu.
Malah Ibu Mertuanya mengalami gangguan yang paling dahsyat berbanding dia, isteri dan anaknya.
Selain daripada gangguan-gangguan yang pernah mereka alamai, leher Ibu Mertuanya dicekik oleh
'penghuni' itu sehingga sesak nafasnya dan setelah Ibu Mertuanya membaca Ayat Qursi (dalam
hatinya kerana mulutnya tidak dapat bersuara), barulah 'penghuni' itu melepaskannya.
Pada satu pagi, dia sengaja meninggalkan Pondok Pengawal lebih lewat kerana ingin menunggu
saya. Dia mengadu masalahnya semula kepada saya dan meminta kalau-kalau saya dapat membantu.
Dia juga menceritakan kejadian terbaru yang menimpa Ibu Mertuanya semalam.
Setelah memintanya menunggu sebentar, saya bergegas ke pejabat dan mendapatkan sekeping kertas
dan pen. Kebetulan, saya masih ada wuduk ketika itu dan terus menulis 'BismillahirRahmanirRahim'
(dalam tulisan jawi) pada tiga keping kertas kecil dan berikan padanya.
Dua daripada kertas itu saya minta dia lekatkan di atas pintu hadapan dan pintu belakang
rumahnya. Manakala kertas yang terakhir saya minta dia letakkan di atas pintu bilik tidur
utamanya kerana menurut ceritanya, kebanyakan gangguan berlaku di bilik itu.
Saya menegaskan kepadanya beberapa kali supaya dia sentiasa beringat bahawa kertas dan tulisan
itu tidak mempunyai apa-apa 'kuasa', tetapi ianya hanya sebagai 'syarat' untuk memohon
pertolongan daripada Allah. Hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.
Keesokkan paginya, dia menunggu saya lagi. Tapi kali ini wajahnya kelihatan berseri-seri, tidak
mencuka seperti kelmarin. Pagi ini dia membawa berita gembira, yang 'penghuni' di rumah sewanya
tidak mengganggu pada malam semalam.
Saya mengucapkan Alhamdulillah dan mengingatkannya supaya banyak bersyukur kepada Allah kerana
segala kebaikan adalah di atas kehendak Allah semata-mata. Dia bertanya berapakah bayaran yang
perlu diberikan kepada saya di atas pertolongan saya itu. Saya tertawa dan bertanya kembali,
adakah saya pernah menyebut tentang bayaran sebelum ini ?
Namun, dia tetap berkeras untuk memberi bayaran sebagai tanda terima kasihnya kepada saya.
Saya memberi kata putus, jika hendak membayar juga, sedekahkanlah kepada mana-mana masjid.
InsyaAllah, semoga dia dan saya akan mendapat kebaikan bersama-sama.
Dan saya juga menyatakan supaya dia tidak terlalu gembira dan perlu berhati-hati kerana
dikhuatiri perkara ini belum tentu sudah selesai sepenuhnya.
Berdasarkan pengalaman saya, Jin dan Syaitan memang licik, apabila mereka rasa terancam,
mereka mungkin akan berpura-pura telah beredar atau berhenti daripada mengancam mangsa untuk
mengelak daripada terpaksa 'berhadapan' dengan orang yang tertentu. Bukanlah kerana orang itu
hebat, tetapi mungkin kerana orang-orang yang mereka takuti itu lebih dekat dengan Allah. Oleh
itu doa mereka akan mudah dikabulkan oleh Allah dan ini menjadi ancaman besar kepada mereka.
Tapi itu orang lain, macam saya ini, tidaklah sebaik manapun. Kebetulan saja Allah memang
hendakkan perkara itu berlaku, mungkin bukan disebabkan doa saya. Dan saya memang tidak layak
untuk digelarkan orang yang mustajab doa, jauh sekali sebagai seorang yang warak.
Setelah hampir sebulan 'penghuni' itu tidak mengganggu, dia berjumpa saya lagi untuk
mendapatkan kepastian, adakah 'penghuni' itu benar-benar telah beredar daripada rumah itu ?
Saya pun tidak dapat memberikan jawapannya, cuma saya sekadar boleh mencuba. Saya memintanya
menunggu dan kemudian mengambil wuduk. Sesudah itu, saya menulis Ayat Qursi pada sekeping
kertas dan meminta dia melekatkannya dimana-mana dinding dalam rumahnya.
Keesokan adalah hari cuti (Jumaat), oleh itu saya tidak tahu perkembangan yang berlaku.
Tetapi pada pagi Sabtu (cuti Sabtu pertama dalam sebulan pada waktu itu), saya singgah di
pejabat untuk mengambil barang, saya kehairanan kerana melihat anak dan isterinya turut berada
di Pondok Pengawal juga. Saya fikir, mungkin mereka ingin balik kampung atau ke mana-mana agaknya.
Setelah dia menceritakan keadaan yang sebenar, barulah saya tahu yang anak dan isterinya juga
turut bermalam di Pondok Pengawal bersamanya kerana takut untuk tinggal di rumah.
Rupanya,
selepas dia melekatkan Ayat Qursi yang saya berikan, 'penghuni' itu kembali menggangu dengan
lebih 'keras' lagi. Ini memaksa dia membawa keluarganya bermalam bersamanya dan telah dua
malam anak isterinya tidur di Pondok Pengawal itu.
Itulah kali pertama saya melihat anak dan isterinya. Apabila terlihat anak perempuannya yang
baru berumur tiga tahun pada waktu itu, hati saya mula tersentuh. Saya mula terfikir bagaimana
keadannya jika 'penghuni' itu sering manggangu budak kecil ini atau selalu menampakkan rupa
yang menakutkan pada budak itu ?
Kebetulan saya ada kelapangan pada waktu itu dan tanpa melengahkan masa, saya mengajak mereka
menunjukkan rumah yang mereka sewa itu kepada saya. Mereka bertiga pulang dengan motosikal
Honda EX5 dan saya mengikuti mereka dengan motosikal saya. Rakan saya itu mungkin belum mampu
untuk memiliki sebuah kereta kerana pendapatannya yang tidak seberapa.
Timbul lagi rasa kasihan terhadap mereka, sudahlah susah, dianiayai oleh tuan rumah itu pula.
Hendak mencari rumah baru dan berpindah pun bukannya mudah. Deposit sewa, deposit bekalan
letrik dan air juga perlu diambil kira.
Setibanya saya di rumah itu, saya mulakan dengan bacaan Al Fatihah dan Ayat Qursi sebelum
turun daripada motosikal. Kemudian saya melihat-lihat disekeliling rumah tersebut serta
bahagian belukar di tepinya. Saya tidak merasakan sebarang perasaan luar biasa seperti seram
sejuk atau bulu roma yang meremang. Mungkin 'penghuni' itu telah beredar lebih awal apabila
'mencium' kehadiran saya.
Saya meminta izin kepada rakan saya untuk mendirikan solat dan meminta satu jag air bersih.
Setelah sejadah, tempat solat dan air disediakan, saya mendirikan dua rakaat Solat Sunat Hajat
dan membacakan Surah Fatihah dan Ayat Qursi dengan kiraan tertentu pada air tersebut. Setelah
itu, saya memohon doa agar Allah kasihankan keluarga ini dan sudi membantu mereka.
Air itu saya berikan kepada mereka untuk minum dan mandi setelah saya ambil segelas daripadanya.
Segelas air itu saya renjiskan keliling rumah itu sambil membaca Surah Fatihah dan Ayat Qursi
serta berdoa agar Allah memberikan perlindungan kepada mereka.
Alhamdulillah, selepas itu, mereka tidak lagi diganggu oleh 'penghuni' rumah itu lagi ....
Segala-galanya adalah dengan kehendak Allah, Dia Yang Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.
Kisah-Kisah En.Muhammad yang lain (klik sini)
Kisah Seram Benar, Kisah Benar Seram, Cerita Seram Benar, Cerita Benar Seram, Kisah Angker, Angker Batu,
Cerita Hantu Seram, Kisah Hantu Puntianak / Pontianak / Kuntilanak, Pocong / Hantu Bungkus, Toyol / Jenglot, Ceplos,
Hantu Kubur, Hantu Raya, Pelesit, Hantu Tinggi / Hantu Galah, Saka, Orang Minyak, Hantu Kum Kum, Hantu Pokok Pisang,
Hantu Jepun / Askar Jepun, Langsuir / Langsiaq, Hantu Pari / Bunian, Zombie / Mayat Hidup / Zombi, Sundel Bolong,
Suster Ngesot, Setan Budeq, Penanggal / Tengelong etc
Sponsor Ads
|
|